Lawatan kerja tinjau pelaksanaan orientasi, inisiatif strategik persekolahan




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Januari. - Sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2026 bagi semua sekolah rendah, menengah dan maktab serta pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan termasuk sekolah-sekolah ugama dan arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama bermula hari ini.


Sempena permulaan sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2026, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh berserta rombongan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Mentiri, Sekolah Rendah Haji Mohamad Salleh Sungai Hanching dan Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.


Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat pelaksanaan aktiviti dan inisiatif sempena pembukaan penggal pertama tahun 2026.


Antara fokus utama lawatan tersebut termasuk menyaksikan pelaksanaan orientasi, pengajaran dan pembelajaran, serta beberapa inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan seperti Integrasi Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum, Pendidikan dan Kemahiran STEAM (SES), dan Program Green Education Plan.


Semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan berpeluang meninjau pelaksanaan aktiviti 'Kembali ke Sekolah', yang merangkumi penglibatan aktif pelajar-pelajar serta persiapan rapi para guru, seperti sesi senam aerobik, aktiviti suai kenal dan sesi pengenalan ringkas yang diadakan sempena hari pertama persekolahan.


Yang Berhormat dan rombongan turut meninjau beberapa bilik darjah dan beberapa prasarana sekolah seperti Bilik Darjah Prasekolah, Bilik Sains, Bilik Perpustakaan dan Pusat Sumber, serta berpeluang mengadakan interaksi secara langsung dengan para guru dan pelajar termasuk pelajar-pelajar yang baharu memulakan persekolahan di peringkat prasekolah, di samping menyampaikan kata-kata motivasi serta galakan agar mereka terus bersemangat dalam menuntut ilmu dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pembelajaran yang disediakan.


Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat mengunjungi Nur Kasih (Model Inclusive School) di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali bagi meninjau kemudahan serta pelaksanaan pembelajaran inklusif yang disediakan untuk para pelajar.


Yang Berhormat turut menyaksikan sesi orientasi pelajar-pelajar Tahun 7 yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, iaitu sebagai usaha untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya pembelajaran di peringkat sekolah menengah.


Turut menyertai rombongan Yang Berhormat ialah ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan.


Sementara itu, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan turut mengadakan lawatan kerja ke sekolah-sekolah kerajaan dan swasta secara berasingan bagi meninjau pelaksanaan sesi persekolahan tahun ini.


Dengan bermulanya sesi persekolahan baharu ini, Kementerian Pendidikan sukacita menyeru dan menasihatkan para ibu bapa dan penjaga untuk memberikan kerjasama dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan agar tidak tercicir dalam pembelajaran, lebih-lebih lagi bagi yang dalam lingkungan umur Akta Pendidikan Wajib.


Mengikut pindaan Akta Pendidikan Wajib Penggal 211 yang telah dilaksanakan pada tahun 2024, kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun adalah wajib bersekolah, khususnya mereka yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam dan yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam.


Bagi kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun pada 31 Disember adalah diwajibkan mendaftar bagi kemasukan prasekolah bermula awal tahun berikutnya. Bagi kanak-kanak yang belum berkesempatan untuk didaftarkan, para ibu bapa atau penjaga masih diberi peluang untuk mendaftar di sekolah-sekolah rendah kerajaan mengikut kawasan tadahan masing-masing.


Pada tahun ini, sebanyak 112 buah Sekolah Rendah Kerajaan menawarkan kelas-kelas prasekolah.


Seramai lebih kurang 2,907 orang kanak-kanak berumur lima tahun telah didaftarkan untuk mengikuti pembelajaran di peringkat prasekolah.

Close